Seorang anggota polis tentera Lans Koperal S. R. Alex Praba, 21, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak dua beradik perempuan pada minggu lepas. Alex Praba bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan dihadapan Hakim Norita Mohd Ardani. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA.

IPOH – Seorang anggota polis tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan merompak dua beradik minggu lepas.

Lans Koperal S. R. Alex Praba, 21, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Tertuduh didakwa merompak beg tangan milik kedua-dua wanita yang berusia 21 dan 27 tahun di kawasan kebun kelapa sawit bersebelahan Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di Manjung pada 12.15 pagi, 21 Dis lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin menawarkan jaminan RM10,000 namun peguam Vivian Michelle yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berpendapatan RM1,500 dan menanggung ibu bapanya.

Norita membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 31 Jan untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, tertuduh bertugas di Sarawak dan ketika kejadian sedang bercuti di kampung halaman sempena sambutan Hari Krismas di Manjung.

Di mahkamah sama, anggota tentera laut Mohd Muhazzam Shah Mohd Salem, 36, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan merogol remaja 17 tahun yang merupakan kenalannya, di bilik tidur, sebuah apartmen di Lumut pada 11 malam 17 Dis lepas.

Seorang anggota tentera laut Mohd Muhazzam Shah Mohd Salem, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ipoh hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak perempuan pada 17 Dis lepas Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun hingga 20 tahun dan sebatan. –fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman sama serta hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi satu tempoh minimum setahun dan maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amanina Zulkefli manakala Mohd Muhazzam yang mempunyai tiga anak berusia setahun hingga enam tahun diwakili peguam Fahmi Izzudin Jefri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai dan menetapkan 11 Feb untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan dan serahan dokumen.- BERNAMA