ismail sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkata, ia usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekaligus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara,” katanya dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022 malam ini.

Sebelum itu, Ismail Sabri mengulangi semula pemberian kerajaan melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Pertama, katanya, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini yang telah mula diberikan sejak 27 Disember lalu iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa tiga hingga enam bulan.

Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 Ketua Isi Rumah dan angka yang akan menerima bantuan itu boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (atau PPS).

Zakat LZS

Setakat hari ini, seramai 20,000 Ketua Isi Rumah telah menerimanya.

Kedua, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir.

Pembelian boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang
diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan akan dilaksanakan bermula 7 Januari 2022.

“Ketiga, saya faham dan sedar bahawa banyakkenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik Perodua dan Proton yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

“Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar,” katanya lagi.

Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022.

Keempat, katanya, kerajaan juga akan menyediakan bantuan
tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

Bagaimanapun, bagi kerosakan serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000 manakala bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki,kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000
setiap unit rumah dibina baru.

“Kelima, memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

Bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

“Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat
memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia,” katanya.- MalaysiaGazette