PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga suspek disyaki membunuh seorang lelaki yang ditemui di Jalan Ampang, di sini, pada Selasa lalu diberkas polis.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Saiful Annuar Yusof, kesemua suspek merupakan warga tempatan yang mana dua suspek berusia antara 28 hingga 32 tahun awal ditangkap pada Rabu lalu.

Suspek utama pula ditangkap jam 1 tengah hari semalam oleh Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur, ujarnya.

Jelas Saiful Annuar, terdahulu saksi kejadian melihat lelaki yang ditemui mati itu dipukul oleh ketiga-tiga suspek.

“Pada 29 Disember 2021 jam lebih kurang 1.03 pagi, anggota bertugas di Bilik Kawalan Daerah Dang Wangi telah menerima maklumat berkenaan seorang lelaki warganegara dijumpai terbaring dan tidak sedarkan diri dalam keadaan kepala berdarah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Siasatan awal yang dijalankan di tempat kejadian, terdapat saksi melihat si mati telah dipukul oleh tiga lelaki warganegara pada 28 Disember 2021 jam lebih kurang 6.00 petang,” katanya menerusi kenyataan.

Mayat lelaki berkenaan ditemui susulan maklumat yang diterima oleh Bilik Bertugas Kawalan Daerah Dang Wangi daripada seorang lelaki pada awal pagi Rabu.

Suspek utama berusia 33 tahun direman sehingga 31 Disember manakala dua lagi suspek direman selama tujuh hari hingga 5 Januari 2022.

Saiful Annuar berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati. – MalaysiaGazette