Muhammad Nazri Redzuawan dan pasangannya, Nurul Foto Instagram Chef Wan.

KUALA LUMPUR – Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan mendapat menantu baharu selepas anak lelakinya, Muhammad Nazri Redzuawan selamat mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama wanita pilihannya yang dikenali sebagai Nurul, semalam.

Menerusi satu hantaran di Instagram miliknya, Cef Wan meluahkan rasa syukur berserta ucapan tahniah yang ditujukan kepada anaknya itu walaupun dia kini tidak berada di Malaysia kerana sedang bercuti di Honolulu, Hawaii.

“Tahniah untuk anak saya atas perkahwinan ini. Alhamdulillah. Ini perkahwinan ketiga untuknya (anak) dan yang kedua buat isterinya (menantu).

“Kedua-dua mereka berjumpa dan bertanya kepada saya untuk meminta restu (berkahwin) sebelum saya terbang ke Honolulu. Memandangkan percutian saya ini telah dirancang sejak lebih dua tahun lalu sebelum Covid-19, saya mengambil keputusan untuk meneruskan percutian tanpa hadir ke perkahwinan mereka,” tulisnya.

Cef Wan memberitahu, anaknya yang juga merupakan seorang cef itu mengikat tali pertunangan dengan isterinya sejak lebih setahun lalu.

“Ini perkahwinan ketiga anak saya. Cukupkan asyik kahwinkan anak. Saya kini mahu menikmati kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

Jelasnya lagi, dia menasihati anaknya itu supaya tidak membazir ketika mengadakan majlis perkahwinan dan hanya melakukan perkara wajib (bernikah) sahaja.

“Saya beritahu anak, ketika Covid-19 ini, jangan membazir duit buat majlis bersanding, jemput ramai orang dan membazir.

“Bosan saya dengar orang kahwin tak sudah-sudah atau kahwin cerai,” tulisnya dalam Instagram.

Sementera itu, Nazri atau juga dikenali sebagai Cef Naz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Ana Dahlia sebelum berpisah selepas 11 bulan berkahwin pada 10 Disember 2012.

Nazri kemudiannya berkahwin sekali lagi dengan kakak kepada pelakon, Emma Maembong iaitu Shikin Maembong pada 5 Disember 2014.

Bagaimanapun kedua-duanya bercerai pada Jun 2016. – MalaysiaGazette