Antara sukarelawan yang terlibat dalam memberikan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat banjir ketika mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

KUALA SELANGOR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) tidak ketinggalan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kuala Selangor, hari ini.

Menurut Setiausaha KPPK, Datuk Ravi Muthayah, seramai lebih 600 sukarelawan yang digerakkan kementerian itu di sekitar Kampung Asahan bagi operasi membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.

“Saya mewakili Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dan ini merupakan antara perancangan yang telah dirancang oleh Menteri.

“Pada hari ini MPIC bersama agensi-agensi di bawahnya termasuk Majlis Getah Malaysia, Lembaga Koko Malaysia, Lembaga Tembakau dan Kenaf bersama-sama turun ke Kampung Asahan hari ini untuk melaksanakan misi bantuan banjir.

“Sasaran kita adalah untuk membersihkan 30 buah rumah supaya boleh diduduki semua,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ketua Setiuasusaha Kementerian Perusahaan Perlandangan dan Komuniti, Datuk Ravi Muthayah bercakap pada media ketika mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

Misi bantuan banjir kali ini bertumpu di Kampung Asahan, Kuala Selangor di mana sukarelawan terdiri dari warga KPPK, agensi-agensi di bawah KPPK, NGO bersama-sama membersihkan rumah-rumah penduduk yang terjejas akibat banjir pada 22 Disember yang lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia, Nor Hizwan Ahmad bercakap pada media ketika mengadakan Misi Bantuan Banjir di Kampung Pisang, Kuala Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 01 JANUARI 2022.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia (MRC), Nor Hizwan Ahmad berkata, setakat hari ini, agensi itu telah menyalurkan RM300,000 untuk diagihkan dalam bentuk barangan keperluan dan tunai kepada penduduk yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ia termasuk di kawasan banjir di Taman Sri Muda, Kota Raja, Kapar, Padang Jawa, Teluk Gong dan Pulau Indah.

“Bagi pihak Majlis Getah Malaysia kita telah keluarkan peruntukan hampir RM300,000 dalam pelbagai bentuk daripada mula banjir berlaku sampai ke hari ini.

“Saya yakin agensi lain di bawah MPIC telah sumbang banyak tapi bagi Majlis Getah Malaysia turut menurunkan sukarelawan kita sebab ada di kalangan kakitangan,” katanya dalam sidang media sama.

Untuk rekod, misi bantuan ini merupakan kesinambungan daripada Program Dapur Rakyat, kerjasama antara MRC dan NGO Dapur Prihatin Klang yang beroperasi di Taman Sri Nanding, Hulu Langat dan beberapa kawasan di sekitar Klang dan Shah Alam yang telah memanfaatkan hampir 6,000 isi rumah di kawasan yang dilanda bencana banjir di Lembah Klang. – MalaysiaGazette