Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penangguhan perjalanan umrah tidak patut dilakukan secara tergesa-gesa.

Itu pendirian yang disuarakan persatuan-persatuan yang terlibat dengan pengurusan umrah. 

Persatuan-persatuan yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu adalah Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA)  dan Tabung Haji Travel and Services.

Setiausaha Agung BUMITRA, Ab Rahman Mohd Ali berkata, penangguhan berkenaan akan merugikan jemaah sehingga 80 peratus kos tempahan yang bakal hangus.

Beliau menganggarkan, jumlah kerugian rakyat Malaysia yang sudah mendaftarkan diri untuk menunaikan ibadah umrah bagi penggal pertama tahun ini adalah RM210 juta.

“Penangguhan ini juga melibatkan kos-kos pembatalan yang tinggi yang akan ditanggung oleh jemaah umrah atas dasar pembayaran telah dibuat oleh pihak agensi pelancongan kepada pihak-pihak pembekal yang terlibat seperti kos penerbangan dan penginapan.

“Bukan sahaja akan ada yang rugi 80 peratus malah mungkin ada yang akan rugi 100 peratus,” katanya ketika sidang media.

Selain itu tambah beliau, penangguhan ini akan menyebabkan penempahan semula bagi pendaftaran dan pembayaran yang telah dilakukan.

Malah kata beliau, ada jemaah yang sedang kini berada di tanah suci bimbang kerana bakal menanggung kos kuarantin selama tujuh hari apabila pulang ke tanah air.

Selain kerugian dalam kalangan jemaah umrah, Ab Rahman berkata, pihak-pihak yang terlibat dengan pengurusan perjalanan jemaah umrah juga tidak bersedia untuk menghadapi kesan daripada penangguhan yang diumumkan pada pagi tadi.

“Yang tidak bersedia adalah agensi pelancongan, syarikat penerbangan, pihak muasasab di Arab Saudi dan pihak pembekal hotel, restoran dan pengangkutan di sana,” katanya lagi.

Justeru beliau memohon kerajaan untuk memberikan tempoh satu bulan sebelum penangguhan dibuat.

“Sekurang-kurangnya bagi kami sebulan, kalau mahu kami boleh ketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kalau tidak berpuas hati kami akur jika sebulan lagi kerajaan putuskan untuk tangguh,” katanya lagi.

Turut hadir ketika sidang media, Presiden PAPUH Datuk Seri Razali Mohd Sham, Naib Presiden MATTA Mohd Azri Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali.

Pagi tadi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah bermula 8 Januari ini.

Katanya, keputusan ini dibuat sebagai langkah pencegahan penularan dan memperlahankan berlakunya gelombang varian Omicron. – MalaysiaGazette

Kerajaan tangguh perjalanan ibadah umrah bermula 8 Januari – Khairy Jamaluddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.