Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah bermula 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan ini dibuat sebagai langkah pencegahan penularan dan memperlahankan berlakunya gelombang varian Omicron.

“Tidak ada perjalanan mengerjakan umrah selepas 8 Januari 2022 sehingga tarikh yang dimaklumkan kelak.

“Langkah ini kita ambil sebab kita nak memperlahankan gelombang Omicron.

“Gelombang Omicron ini suatu perkara yang nyata dan akan tiba di semua negara jadi apa kita buat adalah langkah pencegahan, jadi dapat perlahankan penularan di negara secara mendadak,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu katanya, tiada tempahan tiket penerbangan untuk ibadah umrah dibenarkan berkuatkuasa hari ini.

Walaubagaimanapun jelas Khairy, jemaah yang akan berlepas ke Tanah Suci bermula hari ini hingga 7 Januari masih dibenarkan untuk meneruskan perjalanan.

Terdahulu beliau berkata, keputusan ini dibuat pada Mesyuarat Khas Kuartet yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini dengan mempertimbangkan penularan Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah.

Tambahnya lagi, mesyuarat berkenaan turut memutuskan  pelaksanaan kuarantin wajib bermula Isnin depan bagi jemaah umrah di stesen kuarantin atau hotel yang akan dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) .

“Bagi jemaah umrah yang pulang hari ini dan esok mereka masih dibenarkan menjalani kuarantin wajib di rumah dengan memakai peranti pengesanan digital.

“Dari segi nasihat dan rayuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) pengasingan diri. Maksudnya asingkan diri dari ahli keluarga elakkan sepenuhnya interaksi dengan ahli keluarga di rumah,” ujarnya.

Mengulas lanjut Menteri Kesihatan itu berkata, jemaah umrah diberikan pilihan untuk menanggung sendiri kos kuarantin wajib di hotel yang telah disenaraikan atau sebaliknya menjalani kuarantin di stesen yang ditetapkan kerajaan.

Mewakili kerajaan, Khairy memohon maaf kepada umat Islam yang berniat untuk melaksanakan ibadah umrah dalam waktu yang terdekat.

“Bukan hasrat kerajaan atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekat rakyat ke luar negara sebab kita sudah setuju sebelum ini untuk hidup dengan Covid-19 tetapi bila data yang kita terima menunjukkan peningkatan mendadak, jadi kita kita tidak ada pilihan iaitu menangguhkan umrah,” tambah beliau.-MalaysiaGazette