Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN, 08 NOVEMBER 2020. senior judge sexual harassment naked
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Dua pelayan restoran yang sedang dalam perjalanan pulang  selepas selesai kerja melalui detik mencemaskan apabila menjadi mangsa samun berkawan membabitkan lima lelaki tidak dikenali baru-baru ini.

Kejadian menimpa kedua-dua mangsa warga asing yang berbasikal itu di tepi Jalan Wawasan, Bandar Baru Ampang pada 23 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner  Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa kejadian pada jam lebih kurang pukul 1 pagi, pengadu yang merupakan pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berusia 25 tahun bersama rakannya sedang dalam perjalanan ke rumah dari tempat kerja.

“Sampai di tempat kejadian tiba-tiba lima lelaki menaiki sebuah kereta menghalang dan merampas dompet pengadu yang mengandungi pengenalan diri dan wang tunai RM100 dan juga merampas dua buah basikal yang dinaiki oleh mangsa.

“Dalam kejadian sama juga, pengadu telah cuba melarikan diri namun telah ditendang oleh suspek menyebabkan pengadu terjatuh dan mengalami kecederaan di tapak tangan sebelum suspek terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas laporan polis dan maklumat, pada 30 Disember lalu antara jam lebih kurang pukul 4 hingga 7 pagi hari yang sama sepasukan polis bersama bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Ampang Jaya telah melakukan beberapa siri tangkapan.

Hasilnya, pasukannya telah berjaya menangkap suspek lima lelaki tempatan berumur antara 15 hingga 23 tahun yang disyaki terlibat di dalam jenayah samun berkawan itu.

“Siasatan lanjut polis ke atas mereka mendapati salah seorang dari tangkapan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes jenayah seksual manakala yang lain tiada rekod lampau.

“Kesemua suspek juga dilibatkan dalam ujian saringan air kencing dan kesemua tangkapan disahkan negatif dadah,” katanya.

Semua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan dibenarkan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama lima hari bermula 30 Disember lalu sehingga 3 Januari ini.

Bagaimanapun reman ke atas mereka akan disambung Isnin ini untuk meneruskan siasatan sebagai melengkapkan kertas siasatan polis.

Semasa tangkapan suspek, jelas beliau, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna biru yang disyaki digunakan suspek semasa kejadian samun berkawan ke atas warga asing.

“Kesemua suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompak berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahannya,” katanya.-MalaysiaGazette