Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyampaikan bantuan kepada nelayan terjejas di Kuantan, Pahang

KUANTAN –  Seramai 277 nelayan yang terjejas di Pahang, Selangor dan Melaka akibat banjir yang melibatkan kerugian sebanyak RM 2juta sedang dikenalpasati Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia melibatkan kerosakan rumah dan peralatan menangkap ikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 86 nelayan terkesan di Pekan dan Kuantan dengan anggaran nilai kemusnahan sebanyak RM396,500.

“LKIM juga menyediakan bantuan membaik pulih rumah sehingga RM10,000 dan bantuan peralatan RM1,000 bagi meringankan beban nelayan terlibat.

“Bantuan kilat dari RM500 hingga RM1,000 juga diberikan kepada nelayan yang terjejas,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan pasca banjir dan penyerahan bantuan kepada kakitangan dan nelayan di Wisma LKIM di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Ketua Pengarah LKIM, Yusuff Othman.

Menurut Syed Abu Hussin Hafiz, pihaknya sedang mengenal pasti kerugian sebenar ditanggung nelayan terlibat bagi memeastika mereka yang layak menerima bantuan Tabung Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

Dalam pada itu, seramai 63 kakitangan LKIM terjejas akibat  banjir dan lembaga tersebut telah menyalurkan bantuan sebanyak RM 2000. – MalaysiaGazette