Fahmi Bazlan

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menggesa kerajaan supaya menjawab segera kontroversi mengenai isu pembalakan haram yang dilihat semakin berleluasa ketika ini.

Ketua Pemudanya, Fahmi Bazlan berkata, ribuan rakyat telah menjadi mangsa banjir pada kali ini hingga menyebabkan berlakunya kehilangan nyawa serta mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Malah, bencana banjir kali ini adalah antara yang paling teruk dalam sejarah negara dan lebih mengejutkan lagi apabila banyak pembongkaran berhubung kegiatan pembalakan haram berlaku terutama di kawasan Karak.

“Sebanyak 45 NGO telah menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan kepada pihak yang terlibat, tetapi sehingga sekarang masih tiada apa-apa tindakan.

“Apakah tindakan berdiam diri ini ada kaitan dengan kroni-kroni pembalak daripada kalangan ahli politik untuk meraih hasil keuntungan balak?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Fahmi berkata, nasib mangsa banjir masih belum terbela sepenuhnya. Mereka sekarang tinggal sehelai sepinggang dan terkapai-kapai untuk memulakan hidup baru.

“Berhenti politikkan isu ini, berpura-pura prihatin, mengaku sahaja kesalahan dan mohon maaf kepada semua mangsa banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette