Tan Cheng Hoe

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Jurulatih Bola Sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui menerima pelbagai kritikan sepanjang mengendalikan skuad Harimau Malaya.

Cheng Hoe bagaimanapun mengangapnya asam garam yang harus ditempuhi dan tidak menyimpan sebarang dendam.

“Kritikan itu saya anggap sebagai tanda sayang mereka terhadap skuad Harimau Malaya. Mereka hanya nak lihat pasukan ini menjadi lebih baik di pentas antarabangsa,” katanya secara langsung di Astro Arena sebentar tadi.

Bercerita lanjut, Cheng Hoe berkata, banyak perkara manis sepanjang mengemudi skuad Harimau Malaya.

“Sepanjang saya bersama skuad kebangsaan, momen yang saya paling suka dan tak akan lupa sampai bila-bila apabila penyokong datang membanjiri stadium.

“Mereka sentiada memberi sokongan dan itulah yang menjadi inspirasi kepada saya setiap kali bersama pasukan berhadapan mana-mana perlawanan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai ura-ura telah disunting daripada kelab liga Malaysia, Cheng Hoe menafikan perkara itu.

“Belum lagi (tawaran) kerana untuk kelab liga Malaysia, sudah ada jurulatih yang hebat-hebat. Saya nak ucapkan semoga maju jaya kepada semua jurulatih kelab liga Malaysia,” katanya.

Ketika ditebak persoalan mengenai wujudnya beberapa pemain skuad kebangsaan yang tidak berpuas hati dengannya ketika Piala AFF Suzuki, Cheng Hoe berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.

“Sepanjang empat tahun saya bersama kem skuad kebangsaan, ia cukup seronok dan memberi motivasi terbaik serta tidak lihat menjejaskan prestasi.

“Tiada mana-mana pemain yang datang berbincang dengan saya mengenai apa yang mereka tidak puas hati.

“Jadi, agak sukar untuk mana-mana jurulatih untuk faham apa yang mereka alami,” jelasnya.

Katanya lagi, skuad kebangsaan sentiasa memberi komitmen yang baik sama ada di dalam atau luar padang.

“Saya seronok kerana mereka bagi komitmen terbaik. Ada semangat berpasukan yang tinggi dan kerjasama dalam padang juga saya lihat ada dan kerana itu saya sangat positif terhadap skuad kebangsaan ini.

Dalam pada itu, Cheng Hoe juga mengakui cita-citanya membawa skuad Harimau Malaya melangkah lebih jauh tidak kesampaian.

“Itulah cita-cita saya, bukan hanya di rantau Asia Tenggara tapi skuad Harimau Malaya akan disegani di Asia,” katanya.

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan peletakan Cheng sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat berikutan kegagalan skuad kendalian Cheng Hoe melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini.

Keputusan itu dicapai selepas Cheng Hoe mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu.

Antara kejayaan yang diraih Cheng Hoe adalah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K. Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tan Cheng Hoe letak jawatan Ketua Jurulatih Kebangsaan – FAM