Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah flood victims Covid-19 positive infectious diseases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 2.3 peratus iaitu daripada 22,554 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 kepada 23,071 pada ME ke-52 antara 25 Disember 2021 hingga 1 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu selepas negara menyaksikan penurunan kes sejak lima minggu berturut-turut mulai ME ke-46.

Purata kes aktif mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus dengan purata 40,963 kes pada ME ke-52.

“Penurunan kes aktif dilihat sejak lima minggu lalu, selain kes kematian yang turut menurun 18.2 peratus dengan 198 kematian pada ME ke-52 berbanding 242 kematian pada ME ke-51.

“Penurunan ini dicatatkan pada ME ke-52 selepas sedikit peningkatan dilihat pada ME ke-51.

“Purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan 18 peratus iaitu 277 kes (ME ke-50) kepada 226 kes (ME ke-52) dan purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula menunjukkan penurunan 30.4 peratus iaitu daripada 125 kes (ME ke-50) kepada 87 kes (ME ke-52).

“Selain itu, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) meningkat kepada 0.99 pada 1 Januari 2022 dan peningkatan ini dicatat sejak 25 Disember tahun lalu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, turut menunjukkan penurunan adalah kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil bukan ICU, katil ICU dan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang didapati menurun pada ME ke-52.

Ujarnya, penggunaan katil di PKRC mencatatkan penurunan tiga peratus diikuti katil bukan ICU di hospital (satu peratus) dan katil ICU (enam peratus), berbanding ME ke-51.

Katanya lagi, pemberian dos penggalak pula menunjukkan keberkesanan dalam menghindari gejala Covid-19 yang teruk apabila jumlah kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital awam di peringkat kebangsaan mencatatkan penurunan mulai ME ke-46 bagi golongan warga emas.

Jelasnya, ia selari dengan pelancaran program pemberian dos penggalak yang bermula pada 13 Oktober tahun lalu iaitu pada ME ke-42.

Tambahnya, situasi sama turut berlaku kepada golongan dewasa yang mencatatkan penurunan kemasukan pesakit yang bergejala teruk ke hospital awam sejak ME ke-47 sehingga kini.

“KKM ingin mengingatkan sekali lagi bagi individu yang berkelayakan, namun masih belum mendapatkan vaksin Covid-19 atau dos penggalak supaya segera mendaftarkan diri,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast