Noh Omar

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bersetuju untuk memberikan moratorium kepada usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas akibat banjir.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, tawaran itu khusus kepada usahawan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini, menyebabkan banyak perniagaan terkesan dan memerlukan tempoh masa tertentu untuk kembali beroperasi seperti biasa.

“Selaras iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, MEDAC melalui agensi berkaitan telah bersetuju memberikan moratorium kepada usahawan PMKS yang mendapat pembiayaan di bawah kementerian ini.

“Tawaran itu ialah Bank Rakyat memberi penangguhan selama enam bulan khusus kepada peminjam yang terkesan dengan banjir.

“Penangguhan ini melibatkan Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan penangguhan bayaran keuntungan bagi Pajak Gadai-i.

“selain itu, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) turut memberi moratorium selama enam bulan bergantung kepada sejauh mana kesan banjir yang dihadapi oleh usahawan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noh, SME Bank juga memberi pengecualian sewaan selama dua bulan kepada penyewa di kompleks perniagaan usahawan SME Bank dengan menawarkan penjadualan semula, selain Dana Pemulihan Bencana dengan jumlah pembiayaan sehingga RM500,000 dengan enam bulan moratorium.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan masalah usahawan PMKS, yang mahukan sektor itu dipulihkan segera,” katanya.

Kata Noh lagi, tiga pakej pembiayaan turut ditawarkan SME Corp iaitu SME Revitalisation Financing (SMERF), Soft Loan Scheme For Small and Medium Enterprise (SLSME) dan SME Emergency Fund (SMEEF).

Tawaran itu, kata beliau, untuk semua PKS yang terjejas banjir dalam semua sektor ekonomi dan layak membeli peralatan, membaik pulih premis perniagaan serta dana modal permulaan perniagaan.

“Pakej ini diberi moratorium pembayaran balik sehingga enam bulan.

“Bagi peserta tiga program sedia ada ini juga akan diberikan moratorium sehingga enam bulan sehingga Jun 2022.

“Kerajaan kekal komited dalam memastikan bantuan disediakan dapat menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata beliau. – MalaysiaGazette