Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memberikan pengecualian bayaran bil bagi bulan Januari kepada pelanggan akaun domestiknya (Kod Tarif 10) di Selangor yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Basri berkata, pengecualian bayaran bil air itu merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) yang diumumkan oleh kerajaan negeri Selangor.

Katanya, Air Selangor turut memanjangkan pengecualian bayaran bil air itu kepada pelanggan akaun domestik yang terkesan di Kuala Lumpur.

“Para pelanggan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik yang mana mereka tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.

“Sepanjang tempoh pengecualian bayaran ini, bil air bulanan akan terus dikeluarkan oleh Air Selangor.

“Namun begitu, para pelanggan yang layak menerima pengecualian bayaran bil air tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh yang telah dinyatakan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada beliau berkata, pihaknya memahami kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir berkenaan dan berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka.

“Untuk maklumat lanjut, para pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300 atau merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter.

“Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” tambahnya. – MalaysiaGazette