Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Bihun akan naik harga pada 2022 selepas tiga jenis tepung yang digunakan untuk membuat makanan itu mengalami peningkatan harga.

Presiden Persatuan Pengilang Bihun, Hong Zhu Dian berkata, bahan mentah utama bihun adalah tepung jagung, tepung ubi kayu dan tepung sagu dan ketiga-tiga tepung itu telah naik harga.

“Buat masa ini, harga untuk bihun pek ekonomi adalah RM4.20 sekilogram dan RM5.20 untuk bihun berketul 400 gram.

“Pengilang-Pengilang bagaimanapun bersedia untuk menaikkan harga sebanyak 20 sen hingga 40 sen,” katanya kepada China Press.

Ditanya sama ada kenaikan harga didorong oleh kenaikan harga tepung, beliau berkata, faktor utama adalah kekurangan tepung sagu di pasaran.

“Selain itu, kos bahan api yang meningkat juga mengeruhkan keadaan.

“Pengilang juga berdepan kekurangan pekerja dan kami terpaksa menyediakan insentif khas untuk mengelak pekerja berhenti kerja. Pelbagai keadaan ini telah menyebabkan kenaikan harga bihun,” katanya.

Zhu Dian bagaimanapun berkata, pengilang akan menyediakan “zon penampan” untuk pelanggan dengan menaikkan harga secara berperingkat dan memberi makluman awal sebelum kenaikan berlaku.

Selain bihun, China Press turut melaporkan kenaikan harga tepung dijangka menyebabkan perubahan harga untuk roti, biskut dan bahan makanan berasaskan tepung yang lain.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan, harga tepung 25 kilogram akan mengalami kenaikan sebanyak RM5 atau hampir 10 peratus bermula 1 Januari 2022.

Berbanding harga 2021 antara RM47 hingga RM51, harga baharu bermula 2022 adalah antara RM52 hingga RM56.

Harga tepung subsidi oleh kerajaan yang seberat satu kilogram bagaimanapun  tidak mengalami kenaikan harga. – MalaysiaGazette