Home Nasional Dengar bunyi letupan sebelum air masuk macam ombak

Dengar bunyi letupan sebelum air masuk macam ombak

SEGAMAT – Penduduk Kampung Spang Loi di sini pasti tidak lupa kejadian ban pecah sehingga mereka dilanda banjir sekelip mata dan tinggal sehelai sepinggang pada Ahad lalu.

Berkongsi detik cemas kejadian itu, ketua kampung berkenaan, Zamri Bachok, 54, memberitahu, kejadian ban pecah kira-kira pukul 3 pagi itu berlaku dengan pantas.

Zamri Bachok

“Orang kampung tidak sempat menyelamatkan harta benda dan keluar sehelai sepinggang untuk selamatkan diri, dia bunyi meletup macam satu letupanlah. Kuat.

“Jadi air terus mengalir dengan deras macam ombak laut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Halim Ahmad, 76, berharap kejadian seumpama itu tidak berulang kerana ia menyebabkan mereka kehilangan harta benda.

Abdul Halim Ahmad

Malah, katanya, banyak memori seperti foto kenangan bersama keluarga dan insan tercinta musnah.

“Memang habis semua memori, berat bahu memandang, berat lagi bahu memikul bebanan,” katanya.

Justeru, Zamri menambah, rata-rata mereka mahu projek naik taraf dan membaiki ban pecah sepanjang 1.5 kilometer di kawasan itu dibuat sebaik mungkin bagi mengelak perkara sama berlaku.

Menurutnya, langkah drastik yang dilakukan kerajaan itu tentunya disambut baik memandangkan ban dapat membantu mengurangkan risiko banjir buruk di kawasan mereka.

Bagaimanapun penduduk mahu kerajaan mengambilkira suara rakyat sebelum ia dibina kembali memandangkan hanya mereka yang tinggal berdekatan ban tersebut lebih mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan.

“Sebenarnya ban ini baik untuk penduduk kampung dan kami menerima baik apa yang dikatakan Perdana Menteri (PM) dan tambahkan baik ban itu dan seharusnya diperkukuhkan lagi kedudukannya.

“Ban banyak membantu apabila berlakunya banjir disebabkan adanya ban itu air tidak dapat masuk ke kampung dengan cepat dan pengumuman PM kita sambut baik termasuk ditinggikan lagi dan diperkukuhkan lagi dan kalau dapat panjangkan lagi,” kata Zamri.

Sebelum itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan membaiki dan menaik taraf ban yang pecah di Kampung Spang Loi.

Petang tadi MalaysiaGazette mengikuti tinjauan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sungai Muar berhampiran Kampung Spang Loi mendapati ke semua rumah di kawasan itu ditelenggami banjir.

Selain memusnahkan rumah, petani di kawasan yang sama terpaksa menanggung kerugian ekoran banjir dan kejadian itu mengakibatkan 115 ketua isi rumah dan 500 penduduk menjadi mangsa banjir.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast