Jalan Kinabalu dari arah Cheras di Kuala Lumpur ditutup ekoran kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan lubang yang membahayakan kepada pengguna jalan raya.- Gambar ihsan JSPT Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Jalan Kinabalu dari arah Cheras di sini ditutup ekoran kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan lubang yang membahayakan kepada pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, jalan berkenaan ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi kepada semua kenderaan.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dijangka akan mengambil masa dua atau tiga hari.

“Polis menasihatkan supaya pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, JSPT Kuala Lumpur menyediakan laluan alternatif antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula.

Sarifudin berkata, bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

Sementara itu, kenderaan daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching manakala kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn dihalakan terus ke Jalan Parlimen.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast