Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 14 peratus atau 17 daripada 122 kes positif Covid-19 dengan varian Omicron yang dikesan tidak mempunyai sejarah vaksinasi.

Menurut Menteri Kesihatan, data sehingga 4 Januari 2022 tersebut menunjukkan 12 daripada 17 adalah dalam kalangan jemaah umrah.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sedang menyiasat mengapa 12 jemaah umrah berkenaan tidak mengambil vaksin.

“Kita nak semak dulu, kita sedang siasat sebab data ini kita dapat baru sahaja,” katanya ketika sidang media.

Kata beliau, ini menunjukkan berlakunya ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) terhadap perjalanan umrah.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan ejen-ejen umrah mengenai maklumat terbaharu itu.

Terdahulu beliau berkata, terdapat 123 lagi kes positif Covid-19 disahkan varian Omicron setakat hari ini.

“Daripada 72 yang terbaharu hari ini, 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi,” katanya lagi.

Bilangan terkini ini ujar beliau, menjadikan jumlah kumulatif kes Omicron dalam negara adalah sebanyak 245 kes.-MalaysiaGazette