Kejadian buli di MRSM Sultan Azlan Shah menimbulkan kemarahan orang ramai.

KUALA KANGSAR –  Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Omar Bakhtiar Yaakob berkata, kertas siasatan kes dilengkapkan pada 17 Dis dan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya negeri Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lepas.

Media sebelum ini melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Ia susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya dalam bilik asrama dan ditumbuk di bahagian perut. – MalaysiaGazette