Petugas memeriksa dan mengasingkan ayat suci al-Quran yang terjejas akibat banjir sebelum proses pelupusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Darul Kalam, Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak. Foto FAREEZ FADZIL, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – “Sebagai umat Islam hargailah kalam Allah  sementara ia masih kekal di muka bumi ini,” pesan seorang sukarelawan yang melakukan proses melupus di Pusat Pelupusan Al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah di Taman Selasih.

Fatimah Isniah Abd Rahman, 36, mengakui dia rasa hiba dan amat sedih melihat longgokan naskah-naskah al-Quran yang rosak akibat dilanda banjir besar baru-baru ini.

Apatah lagi melihat tulisan-tulisan ayat al-Quran itu masih utuh dan tidak luntur meskipun sudah ditenggelami air.

Fatimah berkata, hatinya cukup sayu apabila dia sendiri perlu meleraikan setiap helaian al-Quran itu satu demi satu untuk dibakar menjadi abu yang halus sebelum dibuang ke laut.

“Perasaan saya sedih, terkilan bila kita dilanda musibah, berlaku kerosakan pada al-Quran.

“Walaupun naskah-naskah al-Quran itu basah, tetapi tulisan ayat-ayatnya tidak luput, tidak hilang. Mungkin Allah masih bagi kita peluang membacanya walaupun dalam keadaan tidak begitu sempurna,” katanya sayu.

Fatimah Isniah Abd Rahman

Fatimah yang sudah dua hari menjadi sularelawan di pusat itu berkata, biarpun kerja-kerja yang dilakukan nampak mudah namun di dalam hati Allah sahaja yang tahu.

“Kerja-kerja ini menjadikan saya lebih muhasabah diri, menjadikan saya lebih menghargai kalam Allah ini. Inilah kelebihan al Quran yang merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW kepada kita seluruh umatnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, seorang ibu tunggal, Rosmawati Mohd Kamal, 40, menyifatkan proses melupuskan al-Quran ini menyuntik keinsafan di dalam dirinya bahawa kekuasaan Allah sangat luas dan tiada tandingan.

“Walaupun baru pertama kali melibatkan diri dalam aktiviti ini, saya rasa insaf kerana setiap hari meleraikan helaian al-Quran menjadikan saya sedih, seolah-olah al-Quran akan dihapuskan dari muka bumi ini,” ujarnya.

Rosmawati Mohd Kamal

Wanita ini berharap kerja-kerja yang dilakukan ini dapat memberi kesedaran kepada dirinya untuk terus menjadikan al-Quran sebagai pendamping serta mendapat keberkatan dari Allah.

Al-Quran yang dilupuskan itu adalah al-Quran yang rosak selepas beberapa negeri dilanda banjir besar pada 18 Disember lalu.

Susulan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menawarkan khidmatnya untuk membantu melupuskan al-Quran yang rosak mengikut panduan syariat bagi memelihara kesucian al-Quran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast