delay postpone umrah pilgrims Covid-19 omicron variant Keratong 5 Saudi Cluster Health Minister Khairy Jamaluddin Abu Bakar in a news conference on the latest development of Covid-19. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 06 JANUARY 2022.
Health Minister Khairy Jamaluddin Abu Bakar in a news conference on the latest development of Covid-19. PIX: AMIRUL SHAUFIQ / MalaysiaGazette / 06 JANUARY 2022. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media khas mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Kes Covid-19 dalam negara boleh melonjak kepada lebih 15,000 kes sehari pada Januari dan Februari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, berikutan itu pihaknya mengambil keputusan untuk menangguh sementara perjalanan ibadah umrah sebagai langkah pencegahan berlakunya peningkatan kes positif Covid-19, khususnya penularan varian Omicron.

Dalam masa yang sama katanya, penangguhan sementara perjalanan itu akan memberi ruang untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperketatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) perjalanan ibadah umrah.

Jelas beliau, ini meliputi dos penggalak sebagai syarat utama jemaah umrah dan isu kontak rapat yang dilihat perlu diasingkan sebelum dibenarkan pulang ke tanah air.

Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi akan dibuat dalam masa terdekat khususnya berkenaan SOP jemaah umrah.

“Saya nak beritahu di Arab Saudi, hanya yang positif Covid-19 dalam ujian pra pelepasan tidak akan dibenarkan balik, manakala kontak rapat dibenarkan naik pesawat.

“KKM dan agensi-agensi berkaitan akan mengemaskini SOP umrah termasuk pengambilan dos penggalak sebagai isyarat, pengurusan kes kontak rapat, pemantauan kesihatan, memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi yang berkait dengan melaporkan kes positif kepada KKM di Malaysia termasuk bagi kontak rapat,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menambah, penangguhan perjalanan ibadah umrah perlu dilaksanakan memastikan gelombang Omicron tidak masuk ke negara dengan pantas, sekali gus berisiko melumpuhkan sistem kesihatan negara.

“Kalau kita lepaskan Omicron terlalu cepat, maka kes kemasukan ke hospital akan meningkat dan kes tertunda itu kita terpaksa tangguh lagi. Daripada kita cuba untuk selesaikan yang sedia ada.

“Kedua, sekiranya penularan Omicron terlalu cepat, gelombangnya terlalu cepat, besar dan pantas, bukan hanya hospital kita akan lumpuh, tangguhkan kes pembedahan yang tertangguh tetapi petugas hadapan kita mungkin akan dijangkiti.

“Sekarang ini di United Kingdom (UK) ada beberapa hospital lumpuh kerana petugas mereka dijangkiti Omicron terpaksa mengasingkan diri, walaupun tidak ada gejala tapi mesti diasingkan,” tambahnya.

Data yang jelas, kata Khairy Jamaluddin, menunjukkan varian Omicron datang dari Arab Saudi dan dalam kalangan jemaah umrah,

“Kalau data menunjukkan jumlah paling ramai datang daripada London, sekatan kepada London, kalau Timbaktu, Timbaktu Hawaii, Hawaii tapi jelas datang dari Arab Saudi. Kalau KKM tidak bertindak atas data tersebut maka gelombang Omicron tidak dapat diperlahankan,” katanya.

Sementara itu Khairy Jamaluddin memaklumkan, terdapat beberapa kluster varian Omicron yang menular akibat kegagalan  pengembara khususnya jemaah umrah mematuhi SOP kuarantin di kediaman masing-masing.

Katanya, ini termasuk Kluster Keratong 5, yang melibatkan dua kes indeks yang balik dari Arab Saudi mencetuskan penularan kepada tiga generasi.

“Contoh kluster yang telah merebak di Rompin, Pahang. Kes ini dua kes import, yang kembali dari Arab Saudi. Kluster ini telah menyebabkan 28 kes positif sehingga menular tiga generasi, jangkitan pertama kontak keluarga di Rompin, generasi kedua 15 orang lagi sampai ke Mersing dan generasi ketiga tujuh orang juga di Mersing.

“Ini adalah contoh bagaimana mereka yang kembali kuarantin di rumah menyebabkan jangkitan berlaku kepada kontak keluarga dan tular ke generasi ketiga.

“Inilah sebab kita hentikan kuarantin rumah bagi jemaah umrah sebagai langkah pencegahan kita telah membuat keputusan supaya mereka menjalani kuarantin di pusat kuarantin swasta atau kerajaan bermula 8 Januari,” menurut beliau yang sedar isu penangguhan perjalanan ibadah umrah kini menjadi topik hangat sejak ia diumumkan pada 1 Januari lalu.

Felda Keratong 5 dalam Daerah Rompin, Pahang, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) buat kali kedua bermula hari ini.

Sekatan bersasar itu dilakukan susulan penularan Kluster Keratong 5 Saudi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast