Ahmad Ridhwan menunjukkan rampasan barang samun daripada Geng Muruku yang merompak kuil dan larikan barang kemas serta haiwan peliharaan di sekitar Banting dan Klang berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan minggu ini. Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LANGAT – Sekumpulan penjenayah bergelar Geng Muruku yang menyamun dan merompak dengan menyasarkan rumah ibadat dan pejabat tumpas berikutan tertangkapnya lima nggota kumpulan itu dalam dua serbuan di Banting dan Bandar Baru Klang, Klang pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada warga emas bertugas sebagai setiausaha di sebuah kuil Hindu di Telok Bunut, Banting yang menyedari rumah ibadat itu disamun pada Isnin lalu.

“Dalam insiden samun itu, dua orang pekerja yang berada di dalam kuil terbabit telah mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat diserang dengan kayu oleh penjenayah yang mana modus operandi Geng Muruku ini menyasarkan kuil untuk merompak barang kemas yang digunakan ketika upacara sembahyang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat

Tambah beliau, polis mendapati barang-barang yang hilang daripada kuil tersebut adalah pasport dipercayai milik pekerja kuil, telefon bimbit, komputer riba, wang tunai RM7,800 serta barang kemas milik kuil terbabit bernilai RM16,000.

Menurut Ahmad Ridhwan, bertindak atas maklumat dan aduan mangsa, pasukan polis dari IPD Kuala Langat melakukan serbuan di sebuah rumah di Bandar Baru Klang kira-kira jam 12.15 tengah malam Selasa lalu sebelum dan menahan dua suspek lelaki.

“Hasil soal siasat ke atas dua suspek pertama itu dan berpandukan maklumat dan arah mereka polis pada hari sama jam lebih kurang 4.45 pagi telah melakukan serbuan kedua di kawasan Banting sebelum mencekup tiga lagi suspek lelaki tempatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis berjaya menemui barang-barang milik mangsa dan sejumlah barang disyaki hasil kegiatan jenayah membabitkan beberapa kes pecah rumah, pecah kedai, pecah pejabat dan samun membabitkan rumah ibadah baru-baru ini,” ujar beliau.

Katanya, tangkapan lima suspek menerusi dua serbuan itu berjaya membantu polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun dan 10 kes pecah rumah di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang.

Jelas Ahmad Ridhwan, antara kes yang berjaya diselesaikan ialah pecah Pejabat Pertubuhan Peladang pada 30 Disember dan beberapa kes samun rumah, samun kebun sayur, samun kedai runcit, samun kuil dan pasar raya antara Oktober 2021 hingga awal Januari 2022.

Katanya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun didapati memiliki rekod kesalahan jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

“Polis juga mendapati seorang lagi suspek lelaki disyaki ahli geng Muruku ini masih bebas dan usaha mengesan individu itu telah dipergiatkan di kawasan Banting dan Kuala Langat.

“Kelima-lima suspek Geng Muruku ini direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk disiasat lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette