Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid.

JOHOR BAHRU – ‘Long Tiger’, lelaki etnik Rohingya kini menjalani reman dan kuarantin di Penjara Sungai Udang, Melaka bermula semalam sehingga 18 Januari ini.

Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 32, direman untuk disiasat mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Beliau berkata, sebelum ini individu terbabit direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak bermula 29 Disember sehingga 3 Januari lepas mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan.

“Reman penjara ini bersangkut dengan kes lama di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan, apabila kita dapat arahan pertuduhan untuk (kes di bawah) Seksyen 224 Kanun Keseksaan, barulah kita bawanya keluar dan tuduh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Jelasnya, Long Tiger perlu menjalani kuarantin selama 14 hari yang merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilalui untuk memasuki penjara.

Sementara itu, beliau berkata, lapan individu iaitu seorang wanita dan tujuh lelaki tempatan berusia 30 hingga 40-an, yang turut ditahan dipercayai bersubahat dengan Long Tiger telah dibebaskan atas jaminan polis.

Pada 15 Disember lepas, Abdul Hamim dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum bermula perbicaraan kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Abdul Hamim pada masa sama turut berdepan dua perbicaraan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta Seksyen 376 kanun sama kerana merogol.

Dalam pada itu mengenai banjir di Johor, Khaw berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecurian, kematian dan kehilangan individu susulan bencana itu.

“Setakat ini tiada laporan dan kita juga ada hantar anggota untuk menjaga Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Rondaan juga bukan sahaja untuk pematuhan COVID-19, tetapi fokus juga diberikan kepada PPS dan rumah terkesan banjir yang ditinggalkan supaya rumah mangsa banjir ini selamat,” katanya.

Khaw turut menjelaskan, setakat ini tiada IPD serta balai-balai di negeri ini yang terjejas banjir dan memaklumkan hanya Galeri Darurat Bukit Kepong di Muar terjejas selepas dinaiki air banjir setinggi kira-kira 15 sentimeter.

Mangsa banjir di Johor mencatatkan seramai 3,985 orang setakat 4 petang ini, dengan 61 PPS yang masih beroperasi melibatkan lima daerah iaitu Segamat kekal jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 2,460; Tangkak (739); Muar (714); Batu Pahat (53); dan Mersing (19). – Bernama