Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Seramai 2,072 penghuni rumah Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di Pahang yang menjadi mangsa banjir dikecualikan daripada bayaran sewa selama tiga bulan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdi Wan Ismail berkata, ia meliputi tunggakan sewa untuk tempoh selama tiga bulan mulai Januari 2022 sehingga Mac 2022.

Katanya, bantuan itu melibatkan kos sebanyak RM300,800 sebulan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM902,400.

“Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mengumumkan beberapa bantuan khas dan akan sentiasa meneliti keperluan dan bantuan kepada mangsa  banjir dari semasa ke semasa.

“Kerajaan Negeri juga mengambil berat terhadap faktor kebajikan rakyat yang terjejas dengan bencana banjir yang melanda di negeri ini melibatkan beberapa daerah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Jelas Wan Rosdy, Kerajaan Negeri Pahang sangat bersimpati dan akan terus komited untuk membantu mangsa yang terkesan akibat bencana banjir di negeri itu. – MalaysiaGazette