Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU – Tiada keperluan untuk menghentikan pembalakan di Kelantan kerana aktiviti itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan kuota yang dibenarkan di negeri ini, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata aktiviti itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya ia mengikut terma dan syarat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan kuota yang dibenarkan oleh Majlis Perhutanan Negara.

“Sebagai contoh, setakat tahun ini kita hanya dibenarkan (menjalankan pembalakan) di kawasan seluas 3,000 hektar sahaja, tidak boleh lebih. Kalau lebih, kita akan dikenakan tindakan oleh Majlis Perhutanan Negara,” katanya.

“Semua ini (had pembalakan) bukan negeri yang tentukan tapi Majlis Perhutanan Negara, kita hanya ikut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 Menteri Besar Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kewujudan petisyen “Henti Pembalakan Dan Kemusnahan Alam Sekarang!” yang digerakkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang telah mengumpulkan kira-kira 200,000 tanda tangan.

Petisyen itu bertujuan menggesa kerajaan negeri untuk mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan buat masa ini susulan banjir besar yang sering berlaku sejak kebelakangan ini.

Mohd Amar berkata kegiatan pembalakan di negeri ini bukanlah penyumbang utama kepada musibah banjir yang menjadi fenomena hampir setiap tahun, memandangkan ia telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Menurutnya setiap tahun bermula Oktober hingga Disember tiada penebangan pokok yang dibenarkan kerana ia musim tengkujuh.

“Yang keluar (balak) dalam musim tengkujuh (ketika banjir) itu mungkin yang ditebang sebelum tempoh berkenan dan disimpan di Beta (kawasan simpanan balak),” katanya.

Justeru beliau meminta orang ramai agar tidak hanya menyalahkan pembalakan sebagai punca banjir kerana pelbagai faktor lain juga perlu diambil kira.

— BERNAMA