Oh Tong Keong

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diminta mengambil tindakan keras terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana penjelasan beliau mengenai dakwaan pemilikan saham banyak syarikat tidak diterima rakyat.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, isu ini telah menimbulkan kontroversi selepas Azam menjelaskan bahawa adiknya meminjam akaunnya untuk membeli saham.

”Penjelasan ini langsung tidak boleh diterima atau dipercayai Parti Gerakan,” katanya dalam kenyataan di sini..

Dengan itu, beliau berpendapat, perdana menteri harus mengambil tindakan tegas dan wajar terhadap Azam termasuk mempertimbangkan menukar Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk memenangi keyakinan rakyat.

Beliau berkata, selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam harus tahu dan lebih sensitif dengan wujudnya persoalan percanggahan kepentingan bagi pembelian mahupun pemilikan saham syarikat.

Maka, penjelasan Azam sukar diterima masyarakat, ujarnya.

Oh juga merupakan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Negeri Pulau Pinang menambah, dakwaan itu merisaukan masyarakat terhadap timbulnya kepentingan konflik dan “hubungan antara pihak perniagaan dan pihak penguatkuasaan undang-undang, antara Azam dan dakwaan pemilikan saham korporatnya.

Demi memenangi keyakinan masyarakat terhadap integriti SPRM, siasatan ke atas isu ini perlu dilakukan dengan segera, katanya. – MalaysiaGazette