Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pemuda berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama, pukul 9 malam.

“Bertindak di atas laporan yang diterima daripada anggota penguat kuasa MPKS semalam, polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada jam 9 malam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Pada Selasa lalu, tular satu rakaman menunjukkan seorang lelaki melakukan provokasi terhadap anggota penguatkuasa MPKS yang sedang menjalankan tugas menyaman kenderaan kerana menyalahi undang-undang di dalam kawasan tugasan di Jalan Bidara 6/2 Saujana Utama.

Susulan insiden itu, anggota penguatkuasa berkenaan membuat laporan polis. – MalaysiaGazette