MELAKA – Tujuh laras senapang angin serta aksesori dan ‘peluru’ dirampas polis selepas menahan seorang lelaki tempatan yang aktif menjual senjata berkenaan melalui perkhidmatan kurier di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru jam 1.15 petang.

Menurut beliau, dalam serbuan itu, polis menahan lelaki bujang terbabit yang bekerja sebagai pengendali kren bersama-sama senapang angin berkenaan, peluru dalam bentuk pallet serta aksesori yang disembunyikan di dalam sebuah bilik dalam rumah terbabit dengan anggaran keseluruhan bernilai lebih RM25,000.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek memperoleh senjata berkenaan daripada negara jiran yang diseludup melalui jalan laut sebelum menjualnya kepada pelanggan pada harga RM3,500 untuk selaras senapang tanpa aksesori lain.

“Modus operandi digunakan, suspek meleraikan komponen senapang kepada beberapa bahagian sebelum menggunakan perkhidmatan kurier untuk diposkan kepada pelanggan di seluruh negara terutama sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah.

“Apabila senjata sudah diterima pelanggan, lelaki berkenaan akan menghantar rakaman video melalui aplikasi Whatsapp kepada mereka yang menerangkan cara memasang senapang terbabit,” katanya pada sidang media di IPK di Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Tambahnya, semakan lanjut mendapati, suspek merupakan penjenayah tegar kerana mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan senjata dan pernah dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh mahkamah pada tahun lalu.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengakui senjata terbabit dijual kepada pelanggan untuk tujuan memburu, namun hasil ujian polis mendapati spesifikasi senjata terbabit boleh disalahgunakan sehingga mendatangkan kecederaan.

Tambahnya, suspek kini direman sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang mana bagi kesalahan pertama boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette