Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. Foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Sebanyak 227 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Selangor yang mula beroperasi sejak 18 Disember 2021 berikutan banjir besar telah ditutup sepenuhnya tepat pada jam 11.59 malam 31 Disember 2021.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu, seramai 47,762 mangsa membabitkan 11,237 keluarga telah ditempatkan di fasiliti itu bagi memberi perlindungan kepada mangsa banjir.

“Ini termasuklah PPS yang dibuka di Daerah Kuala Langat pada malam 2 Januari lalu selepas banjir kilat berlaku pada petang hari tersebut.

“Kini PPS terbabit sedang menempatkan 40 mangsa melibatkan 12 keluarga dan mereka telah pindah ke rumah masing-masing pada pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, sehingga jam 10 pagi ini, sebanyak 19,176 keluarga mangsa banjir sama ada yang berpindah mahupun yang tidak berpindah ke PPS telah menerima RM1,000 Bantuan Selangor Bangkit (BSB).

“Sebanyak enam keluarga kehilangan ahli keluarga tersayang pula menerima wang tunai sebanyak RM10,000.

“Setakat ini, sebanyak RM19,236,000 telah disampaikan kepada 19,182 keluarga melalui BSB secara keseluruhannya,” katanya.

Menurutnya, mangsa banjir masih berkesempatan untuk membuat pendaftaran program BSB selewat-lewatnya sebelum atau pada 31 Januari ini.

“Petugas Kerajaan Negeri serta pasukan sukarelawan akan bergerak dari rumah ke rumah bagi membantu, mempercepatkan dan memudahkan proses ini,” katanya.

Selain itu, dianggarkan seramai 21,784 petugas termasuk 10,000 sukarelawan serta petugas agensi kerajaan, penjawat awam, NGO dan orang awam telah membantu mempercepatkan kerja-kerja pembersihan susulan banjir.

“Sebanyak 3,503 aset kerajaan telah digerakkan bagi kerja-kerja ini. Kerajaan Negeri Selangor juga berterima kasih kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Johor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas bantuan yang disampaikan dari pelbagai aspek,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga kini sebanyak 77,000 tan sampah dikutip termasuk 47,000 tan oleh KDEB Waste dan 30,000 tan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak lain.

“Fasa pertama kutipan sisa banjir diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya 14 Januari 2022. Selepas tempoh tersebut, semua kutipan adalah berdasarkan permohonan biasa kepada PBT.

“Fasa kedua pembersihan akan melibatkan pembersihan kawasan dan longkang tersumbat akibat sampah yang hanyut sewaktu banjir melanda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast