Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) menetapkan hanya aktiviti ‘paal koodam’ (belanga berisi susu) sahaja dibenarkan pada sambutan Thaipusam kali ini.- Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) menetapkan hanya aktiviti ‘paal koodam’ (belanga berisi susu) sahaja dibenarkan pada sambutan Thaipusam kali ini.

Pengerusinya, Prof. P. Ramasamy berkata, keputusan itu dibuat selepas PHEB serta persatuan kuil-kuil terlibat mengadakan perbincangan dengan Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique dalam satu perjumpaan di sini semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menegaskan, perarakan membawa pedati akan dilakukan namun, ia dihadkan kepada 500 orang pengikut.

Ramasamy.

“Perarakan membawa kavadi, nazar cukur rambut, pecah kelapa, pengedaran makanan percuma, gerai jualan semua tidak dibenarkan pada sambutan Thaipusam negeri ini.

“Bagi perarakan pedati pula, ia akan diadakan di lima lokasi terpilih dan tidak akan berhenti di semua tempat seperti sebelum pandemik.

“Selain itu, mereka yang mengikuti perarakan pedati akan diberikan pas khas sekali gus memerlukan mereka melakukan pendaftaran awal bagi mendapatkan pas berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.

Mengulas lanjut Ramasamy berkata, pihaknya turut mencadangkan aktiviti membawa ‘paal koodam’ itu dilakukan seminggu awal daripada tarikh Thaipusam bagi mengelakkan berlaku kesesakan serta pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh penganut yang hadir.

“Thaipusam akan disambut pada 18 Januari ini, jadi kita minta aktiviti membawa belanga berisi susu itu dilakukan lebih awal iaitu bermula 12 Januari.

“Kita akan perhalusi semua SOP bagi sambutan Thaipusam selepas mendapat persetujuan daripada Majlis Keselamatan Negara, cuma apa yang saya ingin tegaskan Pulau Pinang akan adakan sambutan Thaipusam kali ini,” kata Ramasamy.

Sementara itu, Pengerusi Kuil Hilltop Arulmigu Balathandayuthapani, R. Subramaniam berkata, penganut yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 saja dibenarkan melakukan aktiviti paal koodam serta mengikut perarakan pedati.

Subramaniam.

“Kita harap mereka yang sihat daripada segi fizikal mennyertai aktiviti kali ini memandangkan kuil akan disanitasi setiap 30 minit sekali gus menyebabkan penganut perlu menunggu lebih lama.

“Selain itu, kita juga meminta mereka yang hadir untuk melakukan ujian calitan kendiri Covid-19 bagi mengelakkan berlaku Kluster Thaipusam,” ujarnya. – MalaysiaGazette