MPPH berpendirian perlu tubuhan badan bebas siasat Azam Baki.

KUALA LUMPUR – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kesal isu kontroversi berkaitan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah menjejaskan integriti pihak berkuasa di  mata rakyat.

Ia juga menjatuhkan kredibiliti negara peringkat antarabangsa, seperti kenyataan yang dibuat Transparency International.

Oleh demikian Majlis Presiden PH mendesak Azam dan juga Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang disiasat oleh satu badan bebas dan mereka perlu direhatkan sementara siasatan berjalan.

“Kami tidak dapat menerima kenyataan Ketua Pesuruhjaya dan Pengerusi LPPR semalam oleh kerana kenyataan Ketua Pesuruhjaya menunjukkan kemungkinan telah berlaku pelanggaran undang-undang dan percanggahan kepentingan melibatkan akaun saham beliau yang diguna untuk membeli berjuta saham bagi pihak adiknya.

“Ini melibatkan undang-undang khususnya Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, yang boleh didenda RM3 juta atau dihukum penjara 10 tahun jika didapati bersalah, serta isu punca dana yang telah diguna untuk pembelian jutaan saham ini.

Pengerusi LPPR pula dengan begitu mudah mengiakan penjelasan tersebut, walaupun seharusnya siasatan yang lebih terbuka dan menyeluruh dilakukan, kerana melibatkan dakwaan pembelian saham bernilai jutaan ringgit di dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia,” kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Malah Majlis Presiden PH menambah bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengeluarkan kenyataan semalam  akan mendapatkan penjelasan dari beberapa pihak termasuk Azam tentang perkara ini demi mengekalkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran dana di Malaysia.

Majlis Presiden PH juga berpandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak lagi boleh berdiam diri dalam perkara yang sama.

“Selaku ketua, beliau (Ismail Sabri) harus memanggil sidang Parlimen khas bagi menjelaskan keadaan sebenar berhubung isu saham membabitkan Azam.

“Beliau juga perlu memberi penjelasan bagaimana pengurusan dan pentadbiran SPRM telah menjadi rosak sehingga boleh berlaku kes-kes yang meranapkan imej institusi termasuk kecurian RM25 juta wang kes Datuk Hasanah Abdul Hamid dan rompakan RM700,000 oleh pegawai-pegawai SPRM.

“Oleh itu, kami mengulangi pendirian siasatan penuh dilakukan oleh badan bebas yang tiada kaitan dengan SPRM terhadap bukan sahaja Ketua Pesuruhjaya sedia ada, malah juga terhadap Ketua-Ketua Pesuruhjaya yang telah berkhidmat sebelum ini,” tegasnya.

Polis Diraja Malaysia  juga perlu membuka kertas siasatan untuk menyiasat sekiranya telah berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, seperti yang telah didakwa pelbagai pihak.- MalaysiaGazette