Zakaria (kanan) melihat barang persiapan di PPS sekiranya berlaku bencana.

GEORGE TOWN – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang telah mengenal pasti 197 lokasi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku bencana banjir.

Pengarah JKM negeri, Zakaria Taib berkata, persiapan itu sebagai kesiapsiagaan pihaknya berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Kata beliau, PPS yang mampu menampung kira-kira 40,000 kapasiti individu itu melibatkan pelbagai jenis dewan dan sekolah.

“Semua peralatan bantuan banjir seperti tilam, bantal selimut, sabun, shampoo dan barangan keperluan lain juga mencukupi.

“Bagi bantuan makanan pula, pihaknya sudah mengenalpasti pembekal-pembekal yang boleh menyediakan makanan secara bungkus kerana aktiviti memasak tidak lagi akan disediakan pihak JKM,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Komtar, di sini, hari ini.

Tambah Zakaria, seramai 319 kakitangan yang sudah mempunyai latihan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

“Penempatan pegawai kita dengan bidang tugas masing-masing juga dilakukan bagi memudahkan mereka untuk melaksanakan tugas di pusat-pusat pemindahan.

“Persiapan itu perlu bagi memastikan kelancaran daripada semua sudut sekiranya berlaku banjir walaupun ketika ini cuaca di Pulau Pinang masih berada dalam keadaan normal,” ujar beliau. – MalaysiaGazette