Tertuduh, Mohammad Khuzairee Ibrahim merupakan seorang jurutera kanan dari syarikat utiliti negara mengaku tidak bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan utama dan pilihan berikutan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM14,215.25 ketika didakwa di Mahkamah Seksyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 07 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Seorang jurutera kanan dari syarikat utiliti negara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas enam pertuduhan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM14,205.25 antara Januari hingga Julai 2018.

Tertuduh, Mohammad Khuzairee Ibrahim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan utama dan pilihan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut keenam-enam pertuduhan itu, pada 25 Januari, 25 Januari, 15 Mac, 18 Mei, 25 Julai dan 31 Julai 2018, tertuduh di pejabat Project Mobility Solution Distribution Network Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Petaling Jaya sebagai Jurutera Kanan TNB memperdayakan prinsipalnya, Ketua Unit Project Mobility Solution TNB, Muhamad Had Kadir, suatu dokumen iaitu tuntutan kerja luar dalam negara.

Dokumen tuntutan itu masing-masing berjumlah RM2,100, RM3,320, RM1,391, RM1,489.75, RM2,681.50 dan RM3,223 yang mengandungi butir mantan palsuiaitu butiran elaun perbatuan, elaun lojing dan elaun saraan.

Kesemua tuntutan itu bertarikh 25 hingga 28 Disember 2017, 1 hingga 6 Januari 2018, 18 hingga 20 Februari 2018, 8 hingga 10 April 2018, 15 hingga 19 Julai 2018 dan 23 hingga 28 Julai 2018.

Kesemua pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir palsu atau RM10,000 yang mana lebih tinggi

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah kepada mahkamah serta tertuduh perlu melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memohon jaminan itu dikenakan lebih rendah kerana dia mempunyai tanggungan besar termasuk dua anak berusia tujuh dan lima tahun, isteri yang tidak bekerja, ibu bapa, serta perlu membayar pinjaman peribadi dan kereta.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM terdekat.

Mahkamah menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast