Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO menuntut disegerakan agenda pembaharuan institusi dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembaharuan ini antara lainnya memberikan kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci  dijalankan serta dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

“Ini juga bagi mengelak wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini lantaran Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau melihat ia perlu dilakukan ekoran isu melibatkan Ketua SPRM, Datuk Seri Azam Baki pada masa ini.

“Ternyata kenyataan hasil siasatan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa akaun dagangan miliknya digunakan adiknya untuk memperoleh jutaan saham, tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

“Kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan KP SPRM pula menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham,” katanya.

Menurut Asyraf,sekiranya SPRM dilteakkan di bawah Parlimen, Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya pernah dilantik KP SPRM hanya selepas Perdana Menteri ke-8 daripada PH mengambil alih kerajaan. – MalaysiaGazette