Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang pensyarah wanita kehilangan RM50,000 setelah diperdaya oleh seorang ‘sarjan palsu’.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai Sarjan Opar Anak Panir dari IPK (ibupejabat Polis Kontijen) Perak mengatakan nama pengadu telah didapati terlibat dalam penggubahan wang haram.

“Pengadu diminta untuk menyerahkan kod pengguna dan kata laluan perbankan internet supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, selepas pengadu telah menelefon talian perkhidmatan pelanggan bank dan dimaklumkan jumlah wangnya di dalam bank berkurangan.

Selain itu, menurut Mohd Wazir, seorang kerani diperdaya oleh sindiket penyamaran palsu oleh pegawai mahkamah sehingga rugi RM2,000 dalam kejadian di Kuantan pada Rabu lalu.

Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dihubungi suspek yang mengatakan dirinya terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan dadah.

“Pengadu panik setelah telah menerima panggilan telefon mengatakan dirinya terlibat dalam penggubahan wang haram dan terlibat dalam kes dadah.

“Kemudian pengadu diminta untuk memasukkan RM2,000 ke dalam akaun yang akan diberikan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.