Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang memberi penjelasan berhubung kewujudan seksyen baharu iaitu terowong darat berkembar dalam projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu (Pakej 2).

Ia susulan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semalam mengumumkan pembinaan seksyen terowong darat berkembar dalam projek berkenaan.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, semua pihak sedia maklum projek Pakej 2 itu adalah projek lebuh raya bertingkat tetapi Kon Yeow mengumumkan terdapat pengubahsuaian dalam struktur pembinaannya dengan menambah seksyen terowong darat berkembar di tiga bahagian jajaran terbabit.

Tong Keong berkata, kerajaan negeri sebelum ini sudah membayar RM208 juta menerusi pertukaran tanah bagi kajian kebolehlaksanaan ketiga-tiga jalan utama itu selain melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) bagi menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

“Persoalan yang timbul kini adakah laporan asal masih boleh digunapakai bagi melaksanakan projek ‘baharu’ ini?

“Selain itu, dengan wujudnya seksyen tambahan bagi Pakej 2, adakah kerajaan negeri perlu membuat bayaran tambahan RM200 juta lagi kepada pihak berkenaan bagi menyediakan laporan kebolehlaksanaan yang baharu?

“Kita mahu Kon Yeow beri penjelasan berhubung isu ini memandang berdasarkan situasi ini, adalah mustahil bagi menggunakan laporan kebolehlaksanaan asal untuk membina projek Pakej 2 yang ditambah dengan seksyen terowong darat berkembar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Tong Keong, sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri, Zairil Khir Johari mengatakan projek jalan utama itu tetap akan dilaksana mengikut pelan yang asal walaupun penamatan kontrak antara CZC dengan kontraktor yang lain.

“Namun semalam, Ketua Menteri mengumumkan terdapat perubahan dalam Pakej 2 dan nampaknya terdapat percanggahan antara kenyataan Zairil dengan Kon Yeow.

“Sehubungan itu, Kon Yeow digesa memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai lokasi kawasan perumahan, bukit dan kawasan perkuburan yang bakal ditebus guna pihak berkuasa bagi menjalankan projek ini,” kata Tong Keong.

Semalam, Kon Yeow mengumumkan pembinaan jajaran Pakej 2 jalan pintasan itu mengikut jadual dan dijangka siap pada akhir Januari 2025.

Jajaran itu merangkumi 65 peratus seksyen jejambat (elevated section), tiga seksyen terowong darat berkembar (20 peratus) iaitu dua di Seksyen 2 serta satu di Seksyen 3, dan selebihnya seksyen jalan biasa (at-grade).

Keputusan membina tiga seksyen terowong darat di sepanjang laluan itu dibuat kerajaan negeri selepas mengambil kira keadaan bentuk muka bumi bagi mengelakkan aktiviti pemotongan bukit yang boleh mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar. – MalaysiaGazette