Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Blok A Flat Danau Kota atas padang rumput beralaskan surat khabar dan papan kayu menyayat hati orang awam dalam kejadian pagi tadi. - Gambar Ihsan IPD Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Penduduk perumahan Flat Danau Kota di Setapak di sini hari ini dikejutkan dengan dengan penemuan mayat seorang bayi yang masih bertali pusat disyaki baru sehari dilahirkan.

Lebih meruntun jiwa bayi malang itu ditinggalkan dalam keadaan tanpa seurat benang dan hanya beralaskan surat khabar dan papan kayu telah di atas kawasan rumput hadapan Blok A di Danau Kota, Wangsa Maju pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.21 pagi di tempat kejadian.

“Bertindak di atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju telah bergegas ke lokasi dan hasil penemuan di tempat kejadian dapati mayat yang dijumpai dipercayai berumur sehari, jantina perempuan dan bangsa tidak dapat dipastikan lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Blok A Flat Danau Kota atas padang rumput beralaskan surat khabar dan papan kayu menyayat hati orang awam dalam kejadian pagi tadi. – Gambar Ihsan IPD Wangsa Maju.

Tambah Ashari,  mayat bayi itu telah di bawa ke Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat dengan sulit.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis bagi mengesan wanita bertanggungjawab yang melakukan jenayah membuang mayat bayi itu dalam keadaan menyedihkan sebegitu.

“Justeru, pihak polis sedang cuba mendapatkan maklumat tentang perkara ini selain cuba mendapatkan maklumat dari klinik swasta jika ada maklumat berkaitan wanita melahirkan bayi agak meragukan.

“Setakat ini, kita tak dapat mengesahkan lagi sama ada bayi ini milik warga asing atau tempatan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast