KUALA LUMPUR – Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus memacu perkembangan industri perkayuan negara pada masa akan datang dalam usaha mempertingkatkan lagi Agenda Memperkasakan Usahawan Bumiputera.

Langkah itu dengan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan seperti universiti- universiti, dewan-dewan perniagaan, penyelidik dan agensi berkaitan untuk kajian dan cadangan.

Menurutnya, MTIB telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ke arah pemerkasaan agenda Bumiputera antaranya Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera di bawah Projek Rancangan Malaysia dengan keseluruhan peruntukan sebanyakRM39.7 juta.

Usahawan-usahawan Bumiputera yang layak telah diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran agar dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran.

Program yang telah dijalankan semenjak tahun 2015 telah memanfaatkan seramai 121 usahawan Bumiputera.

Selain itu, Program Sokongan Bahan Mentah dengan dana pusingan berjumlah RM16 juta turut disediakan untuk membolehkan usahawan Bumiputera membuat pembelian bahan mentah kayu bagi pembuatan perabot dan produk bernilai tambah tinggi.

Pembiayaan ini diberikan kepada usahawan Bumiputera yang mempunyai kontrak kerja yang telah dimuktamadkan dan masih berkuat kuasa.

MITB juga mewujudkan Program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghasilkan produk untuk pasaran eksport. Bagi melahirkan usahawan baharu Bumiputera, MTIB juga telah melaksanakan Program VenTureS dan Smart-Patnership bertujuan untuk meningkatkan penglibatan belia-belia Bumiputera dalam industri perkayuan, khususnya industri perabot.

Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) yang dilancarkan pada 18 Disember 2021 telah dirangka untuk mencapai matlamat unggul ke arah memartabatkan industri ukiran kayu negara.

Ia dihasilkan dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu agensi-agensi kerajaan, usahawan industri perkayuan dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (PENGUKIR). – MalaysiaGazette