Kakitangan TADIM Johor menghantar bekalan kepada mangsa banjir di Kampung Bukit Mentaus, Segamat, Johor semalam.

SEGAMAT – Penduduk yang menjadi mangsa banjir di Kampung Mentaus di sini semalam memohon jasa baik untuk dihulurkan sumbangan barangan basah kerana kehabisan simpanan dan tidak dapat keluar kerana terkepung dengan banjir.

Sebaik mengetahui perkara ini, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor segera berhubung dengan penduduk kampung bagi mencari bot untuk menghantar makanan.

Sekitar jam 3 petang, sebaik selesai mendapatkan bekalan makanan terutamanya barangan basah, kakitangan YADIM Johor pun segera menyampaikan sumbangan berkenaan.

Antara yang disampaikan ialah minyak masak, bawang, kicap, tepung, gula, sardin dan kit makanan sedia dimakan.

Kediaman mangsa didapati tidak terjejas teruk, namun jalan perhubungan mereka terputus akibat ditenggelami air yang begitu dalam.

Penduduk Kampung Bukit Mentaus merakamkan penghargaan kerana dapat menyantuni rakyat yang memerlukan dengan pantas tanpa banyak kerenah.- MalaysiaGazette