KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) mendedahkan terdapat pengusaha kantin yang terpaksa berhutang keliling pinggang bagi persediaan pembukaan semula sesi persekolahan kali ini.
Setiausaha Agung PPKSM, Siti Normah Md Desa berkata, para pengusaha terbabit merupakan mereka yang terjejas teruk akibat bencana banjir yang melanda baru-baru ini terutamanya di Selangor dan Pahang.
Menurutnya, faktor utama yang mendorong segelintir pengusaha untuk berhutang kerana mereka sudah kehabisan wang simpanan bagi membeli barangan keperluan.
“Mereka ini sebenarnya sudah hampir tiada modal untuk berniaga, wang simpanan sebelum ini pun habis untuk bayar bil eletrik dan air termasuk menanggung kos-kos sepanjang penutupan kantin ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, walaupun cuti, bil utiliti serta sewa masih perlu dijelaskan.
“Sekarang ini nak buka sekolah, lagi banyak wang diperlukan sehingga ada yang terpaksa meminjam dari saudara mara dan gunakan wang pencen ibu mereka.
“Mereka (pengusaha) ini bukan sahaja kena beli barang basah tetapi kena keluarkan wang untuk baiki kerosakan bangunan kantin dan ganti semula pinggan mangkuk, cerek, dapur gas serta cawan yang rosak akibat dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Siti Normah lagi, pengusaha kantin juga terpaksa menanggung beban perbelanjaan tambahan bagi kerja-kerja pembersihan dan membaiki bahagian bangunan yang rosak susulan daripada banjir.
Jelasnya, kawasan kantin perlu dicuci dengan teliti supaya murid dan pelajar sekolah berada dalam keadaan yang selamat serta bersih.
“Mereka tidak boleh ambil sambil lewa sahaja mengenai pembersihan kantin ini, perlu dicuci dengan rapi kerana itu adalah tempat untuk penyediaan makanan murid, sebab itu pengusaha terpaksa keluarkan wang tambahan untuk proses berkenaan selain berdepan dengan kekurangan pekerja.
“Apa yang membebankan, mereka ini perlu dahulukan wang, jika bernasib baik dapat lah ‘claim’ semula, ada yang sampai dua tahun kemudian baru dapat pun ada, kalau tidak reda sahaja lah.
“Tapi dalam kebanyakan kes, pengusaha kantin memang perlu gunakan wang mereka sendiri terutamanya untuk membaiki bahagian-bahagian kantin yang rosak,” ujarnya.
Artikel berkaitan:
Justeru, Siti Normah menggesa supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat turun padang dan meninjau situasi sebenar pengusaha kantin terutamanya mereka yang berada di kawasan pedalaman yang terjejas akibat banjir.
“Pergi tengok sendiri, setakat ini saya belum dengar ada lawatan dari wakil KPM untuk periksa apa-apa kerosakan pada bangunan kantin, memang tiada.
“Saya banyak bertanya kepada pengusaha, memang tiada (lawatan) dan hanya serah 100 peratus kepada pengusaha untuk baiki sendiri,” katanya.
Pada 24 Disember tahun lalu, KPM mengumumkan tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 adalah pada 9 Januari bagi negeri Kumpulan A dan 10 Januari bagi negeri Kumpulan B.
Hari ini Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan keputusan kementerian untuk meneruskan pengecualian sewa kantin sekolah berikutan bencana banjir serta kerugian yang terpaksa ditanggung para pengusaha. — MalaysiaGazette