Penyanyi rock lagenda Amy Search (kiri) mencuri tumpuan mangsa banjir di PPS apabila penyanyi itu turut menyampaikan sumbangan kopi produknya yang turut disertai Datuk Hasni di

MUAR – Kehadiran penyanyi rock tersohor negara, Amy Search di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Pagoh, semalam nyata mencuri tumpuan mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di situ.

Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 64, bersama-sama Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad hadir di situ bagi menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.

“Lawatan saya pada hari ini bertujuan bagi menyantuni mangsa-mangsa banjir selain memberi sokongan moral kepada mereka dalam menempuhi musibah ini.

“Pada masa yang sama, saya turut menyampaikan bantuan produk kopi milik saya, iaitu Kopi Phewiiit kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS ini,” katanya.

Amy Search dan Hasni melawat dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di PPS Kompleks Sukan Pagoh dan PPS Dewan Serbaguna Pagoh, di sini.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Negeri Terlibat Banjir Tahun 2022 (Fasa 1) dan Bantuan Wang Ihsan Johor Tahun 2022 (Fasa 1) sebanyak RM1,500 kepada wakil keluarga mangsa banjir.

Selain menyampaikan sumbangan produk kopinya, Kopi Phewittt, Amy Search turut berkesempatan mendendangkan lagu Isabella sebagai memenuhi permintaan seorang peminatnya di PPS itu.

Amy berkata, kunjungannya ke PPS di Pagoh ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatannya bagi menyantuni mangsa banjir di seluruh negara.

“Terdahulu, saya telah hadir ke beberapa PPS di Dengkil dan Shah Alam bagi melihat sendiri keadaan mangsa banjir.

“Musibah yang melanda pada kali ini agak teruk kerana melibatkan mangsa yang banyak dengan kerugian besar.

“Saya berharap agar semua mangsa banjir diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menempuh dugaan,”katanya. – MalaysiaGazette