SERDANG – Bekas perejam (killer) pasukan sepak takraw negara, Muhammad Kamal Ishak yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya kira-kira tiga tahun lalu meraikan detik bersejarah buat dirinya semalam apabila menerima ijazah Bacelor Pendidikan Jasmani.

Bekas atlet berusia 29 tahun itu menerima Bachelor berkenaan daripada ProCanselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Academician Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim pada Sesi 1, Majlis Konvokesyen ke-44 Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, di sini.

Muhammad Kamal berkata, selepas kemalangan pada 2019 itu, beliau hampir berputus asa dan hampir tidak meneruskan pengajian Semester Tujuh kerana kesukaran untuk bergerak.

“Saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama sebulan, dan di hospital selama tiga bulan lagi. Ketika itu saya terlalu traum, jari tak boleh gerak, dari tengkuk ke bawah lumpuh, saya hanya terbaring sahaja.

“Namun semangat saya kembali kuat apabila mendapat tahu isteri saya selamat dan anak dalam kandungannya juga selamat. Merekalah inspirasi saya.

“Ibu dan ayah saya juga tidak pernah tunjuk putus asa terhadap saya,” katanya yang kini bergerak menggunakan kerusi roda.

Muhammad Kamal yang barasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, selepas melalui rawatan pemulihan fisioterapi, baharulah beliau boleh duduk dan menulis.

“Selama tujuh bulan ibu, Jamilah Mad Jusoh, dan bapa Ishak Taib menjaga saya di Kuala Lumpur tanpa sehari pun dalam tempoh itu pulang ke kampung halaman. Pengorbanan mereka terlalu besar,” katanya.

Beliau yang merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik berkata, Ketua Jabatan di Fakulti Pengajian Pendidikan juga menasihatinya supaya tidak berhenti belajar sebaliknya mendapatkan rawatan pemulihan.

Katanya, ketika itu pengajian berlangsung secara dalam talian kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan ekoran pandemik COVID-19.

Latihan amali yang mengkehendakinya mengajar juga dilakukan secara dalam talian dan hanya ke kolej sekali dalam seminggu.

Katanya, latihan amalinya dilakukan di Sekolah Sukan Negeri Mutiara Impian, Nibong Tebal, tidak berapa jauh dari rumahnya.

“Tempoh semasa PKP itu memudahkan saya menamatkan pengajian dan melakukan latihan amali kerana sebahagian besarnya dilakukan secara dalam talian, tanpa membabitkan banyak pergerakan untuk saya,” katanya.

Muhammad Kamal mula mewakli negara semasa tingkatan lima dengan menyertai kejohanan Asean School Games, manakala pada 2015 menyertai kejohanan Asean University Games, dan mewakili negara pada peringkat senior pada King’s Cup World
Championship di Bangkok, Thailand pada 2016, Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, dan Sukan Asia di Indonesia 2018.

Pada Sukan SEA dan Sukan Asia itu, beliau memenangi pingat perak, manakala pada King’s Cup World Championship memenangi emas.

Menurutnya, kemalangan pada Februari 2019 itu berlaku apabila tayar kenderaan yang dipandu meletup ketika melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menyebabkan keretanya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Isterinya, Nik Nozilawati Nik Wil yang ketika itu mengandung tiga bulan tidak cedera.Anak mereka itu, Nor Assyifa Median kini berusia dua tahun.

“Melihat kawan-kawan di televisyen beraksi dalam Sepak Takraw League (STL) membuatkan saya sedih kerana tidak dapat lagi beraksi sama, tetapi saya berharap untuk menjadi jurulatih atau membuat analisis profesional untuk membantu sukan sepak takraw negara,” katanya.

Beliau turut merakam terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM yang banyak
membantu daripada segi kewangan selepas beliau terbabit dalam kemalangan itu. – MalaysiaGazette