Datuk Seri Ismail Sabri menyapa mangsa banjir di Dewan MTP Lanchang, Temerloh.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 94.2 peratus mangsa banjir sudah menerima Bantuan Wang Ihsan, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu diperolehi kerajaan sehingga hari ini berjumlah 51,532 daripada 54,678 Ketua Isi Rumah (KIR) telah menerima BWI berjumlah RM1,000.

“Untuk seluruh negara sehingga malam semalam, sebanyak 94.3 peratus mangsa yang berada di PPS telah menerima BWI manakala 93.8 peratus penerima yang tidak berpindah ke PPS.

“Manakala bantuan-bantuan lain akan mula diagih-agihkan esok,” katanya akaun Twitter, hari ini.

Kesemua mangsa banjir di kawasan Parlimen Bera sudah menerima BWI.

Ismail Sabri berkata, penyaluran bantuan mangsa-mangsa banjir perlu dipercepatkan kerana kerajaan tidak mahu sebarang KIR yang ketinggalan dalam penerimaan bantuan itu.

“Prinsip kerajaan hari ini ialah mempermudahkan, bukan menyulitkan. Mempercepatkan bukan melewatkan. Semoga pemberian sumbangan dapat meringankan bebanan mangsa banjir,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, sejumlah lebih RM39 juta BWI telah diagihkan kepada mangsa banjir di seluruh negara setakat Khamis lalu. – MalaysiaGazette