Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. Foto SYAFIQ AMBAK, 19 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Kerajaan negeri melaka bercadang mengisytiharkan Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah sebagai kawasan wabak penyakit Demam Babi Afrika (ASF) yang mengakibatkan 1,864 ekor ternakan babi dimusnahkan setakat semalam.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, bagaimanapun kes jangkitan itu masih terkawal dan hanya menunggu tarikh rasmi pewartaan diumumkan.

“Pewartaan Kampung Paya Mengkuang, Masjid Tanah sebagai kawasan wabak dan kawasan kawalan penyakit ASF akan diangkat untuk pertimbangan kerajaan negeri.

“Pengawasan kes telah dibuat yang mana ternakan babi sedia ada tidak boleh dikeluarkan dari kandang. Perkara ini juga sudah berada dalam pengetahuan Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Sulaiman Md Ali) dan hanya tunggu tarikh rasmi pewartaan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Dr Norlizan Mohd Noor mengesahkan ASF telah menjangkiti 16 ladang babi komersial di Paya Mengkuang.

Bagi mengawal dan mencegah penularan ASF, JPV katanya, telah menguatkuasakan polisi stamping out menerusi pemusnahan babi yang mana sesebuah ladang telah disahkan positif ASF.

Mengulas lanjut mengenai tahap perlindungan terhadap hidupan babi di Paya Mengkuang, Abdul Razak berkata, tahap biosekuriti ladang babi di kawasan tersebut adalah rendah.

“Kedudukan ladang-ladang yang berdekatan antara satu sama lain juga boleh menyebabkan penularan jangkitan ASF, sebab itu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sentiasa mengingatkan penternak supaya memastikan tahap biosekuriti ladang sentiasa berada di tahap tertinggi.

“Bagaimanapun sehingga kini, kes ASF di Melaka masih terkawal dan hanya berlaku di ladang babi komersil di Paya Mengkuang sahaja.

“Tiada kes jangkitan dikesan di dua lagi daerah iaitu Melaka Tengah dan Jasin, malah orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana ASF tidak menjangkiti manusia, sebaliknya hanya boleh menjangkiti babi yang diternak atau babi hutan sahaja,” katanya.

Jelas beliau, segala aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi masih aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF di kesemua 35 buah ladang babi di Paya Mengkuang.

“Punca jangkitan masih dalam siasatan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV). Sekiranya langkah biosekuriti ladang tidak ditingkatkan dan diamalkan dengan baik, kita khuatir perebakan penyakit mudah berlaku.

“Langkah lain yang perlu diambil adalah menjaga kebersihan ladang, membasmi kuman pada kandang, peralatan dan pakaian selain tempat membasmi kuman di pintu masuk ladang (vehicle dip) bagi kenderaan dan pencelup kaki (foot dip) bagi pekerja dan pelawat,” katanya.

Tambahnya, antara langkah pencegahan lain diambil JPV adalah mengeluarkan Notis Larangan Pemindahan Binatang dan Karkas di bawah Seksyen 18(2) Akta Binatang 1953 kepada semua ladang babi di Paya Mengkuang berkuatkuasa mulai 20 Disember 2021.

Turut dilaksanakan jelas beliau adalah operasi pemusnahan ternakan babi di semua ladang yang disahkan positif di bawah Seksyen 19, Akta Binatang 1953 manakala ternakan sihat di ladang lain dibenarkan disembelih di rumah sembelih Paya Mengkuang selepas pemeriksaan JPV. – MalaysiaGazette