M. Saravanan

PUTRAJAYA – Memorandum persefahaman (MoU) Pekhidmatan Domestik Indonesia (PDI) antara Malaysia dan Indonesia dijangka dapat dimeterai pada awal Febuari  ini.

Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, perbincangan di antara kedua-dua kerajaan kini berada di tahap terakhir untuk memperhalusi beberapa aspek.

Ia termasuklah isu kos yang perlu ditanggung oleh majikan untuk membawa pekerja dari negara itu.

“Sekarang adalah perbincangan di peringkat terakhir sebelum kerajaan dengan Jakarta putuskan kos membawa masuk pekerja asing dari negara itu.

“Pada masa ini, pendekatan Kuala Lumpur kita nak mengawal harga kos membawa masuk pekerja asing iaitu lebih kurang RM15,000 termasuk kos kuarantin, levi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pertubuhan Keselamatan Nasional (Perkeso) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan permintaan Kerajaan Indonesia supaya Malaysia menghapuskan  polisi yang membenarkan rakyat mereka datang sebagai pelancong kemudian menjadi pembantu rumah.

“Indonesia berpendirian itu adalah konsep buruh paksa. Mereka nak saya hapuskan polisi ini sebelum mereka menandatangani sebelum Malaysia dan Indonesia menandatangai MoU

“Saya akan bincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengenai perkara ini,” katanya lagi.

Saravanan sebelum ini mengesahkan Indonesia akan menghantar seramai 5,000 hingga 10,000 rakyatnya untuk bekerja di negara ini.

Jumlah berkenaan adalah pekerja yang bakal ditempatkan di sektor pembinaan, pembuatan dan PDI.- MalaysiaGazette