Najib Razak bersama Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sepatutnya dijadual untuk memberikan keterangan saksi pembelaan kes projek sistem tenaga solar berjumlah RM1.25 bilion hari ini dimaklumkan tidak akan berbuat demikian.

Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa dalam kes ini kini sedang membela dirinya dan Najib adalah antara saksi dalam projek sekolah luar bandar di Sarawak itu.

Bagaimanapun, mahkamah dimaklumkan oleh peguam mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh, pihaknya telah membuat keputusan pada saat-saat ‘akhir’ bahawa keterangan oleh Najib itu sebenarnya hampir sama sahaja dengan saksi-saksi pembelaan lain.

Kata Jagjit, keterangan Najib yang merupakan saksi pembelaan ketiga itu lebih kepada bersifat menyokong atau ‘corroborative’ sahaja.

Jagjit Singh

“Yang Arif, izinkan saya maklumkan kepada pihak Yang Arif selepas sesi ‘brainstroming’ Sabtu dan lewat malam Ahad, pasukan pembelaan membuat keputusan tidak memanggil Najib sebagai saksi.

“Ini  kerana kebanyakan keterangan daripadanya lebih kepada bersifat menyokong. Sebenarnya kebanyakan sokongan keterangan ini sudah dibuktikan oleh pasukan pembelaan dalam mahkamah.

“Oleh yang demikian, kita telah menyusun kembali strategi baharu dan telah membuat keputusan untuk tidak memanggil Najib memberikan keterangannya kepada mahkamah.

“Kami mohon maaf dengan Yang Arif tentang keputusan saat akhir ini,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan sebentar tadi.

Rosmah didakwa meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau dituduh meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. -MalaysiaGazette