Ramli Mohamed Yoosuf menunjukkan dua gambar suspek yang dikehendaki untuk siasatan kes pecah kereta.

CAMERON HIGHLANDS – Polis Pahang memburu dua lagi penjenayah setelah berjaya memberkas enam individu yang terlibat dalam sindiket pecah kenderaan sekitar Cameron Highlands.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kedua-dua supsek melarikan diri namun perbuatan jenayah mereka dibongkarkan oleh rakan-rakan yang telah ditahan.

Suspek dan rakan-rakannya yang ditahan menggunakan modus operandi bercuti bersama keluarga sambil merompak dengan menaiki tiga buah kereta dari Kedah ke Cameron Highlands.

“Polis meminta kerjasama Muhammad Zainal yang mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan suspek kedua bernama Faiz untuk menyerah diri ke balai polis berhampiran dan memberi kerjasama kepada pihak polis.

“Terdahulu keenam-enam berusia 19 hingga 31 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah cermin sebuah kenderaan mewah dalam kejadian di Tanah Rata dekat sini pada Sabtu lalu.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui dan merampas wang tunai RM260,000 yang dilarikan daripada kenderaan tersebut, selain beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sidang media di IPD Cameron Highlands hari ini.

Turut dirampas ialah dadah jenis syabu dengan anggaran berat 34.74 gram dan ganja kira-kira 4.2 gram, kereta jenis Perodua Myvi selain pelbagai barang kemas, tiga jongkong emas, 10 telefon bimbit, sebuah beg berisi wang tunai berjumlah RM3,843.

Dengan tangkapan tersebut, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes jenayah pecah kereta dan curi barang di sekitar daerah Cameron Highlands yang aktif sejak 6 Januari hingga 8 Januari.

Kesemua tahanan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda jika sabit kesalahan.

Manakala Sesyen 427 memperuntukkan kesalahan hukuman penjara tidak kurung setahun atau tidak lebih lima tahun atau dengan denda.

Dua lagi suspek juga disiasat di bawah Seksyen 39A(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi kesalahan memiliki dadah.

Kesemua direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosesur Jenayah sehingga 12 Januari bagi siasatan lanjut. – MalaysiaGazette