12 suspek termasuk 2 wanita tempatan disyaki ahli sindiket penipuan pelaburan online sasar mangsa luar negara tumpas menerusi serbuan di dua premis rumah kondo mewah sewa di Jalan Ampang oleh polis Dang Wangi semalam.Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Satu sindiket yang terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan dalam talian dengan menjadikan dua premis sebagai pusat panggilan ditumpaskan dengan tertangkapnya 12 individu.

Sindiket yang menyasarkan mangsa dari luar negara itu hanya mampu beroperasi selama 30 hari dengan menjadikan dua premis kondominium mewah yang disewa RM5,000 sebulan sebagai operasi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pada kira-kira jam 8.30 malam, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Daerah Dang Wangi dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur telah membuat serbuan di dua permis di Jalan Ampang kerana disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan dalam talian.

“Siasatan awal yang dijalankan mendapati sindiket ini menggunakan modus operandi penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian yang mensasarkan pelanggan yang tinggal di luar negara.

“Hasil kejayaan serbuan tersebut telah berjaya menangkap 12 orang terdiri daripada dua perempuan warga tempatan, tujuh lelaki bukan warganegara dan juga tiga wanita asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua suspek berusia di antara 23 tahun hingga 38 tahun.

Dalam serbuan sama, menurut Noor Dellhan, polis merampas 32 buah telefon bimbit, empat komputer riba, satu set modem,dua Unit Pemprosesan Pusat, sebuah monitor komputer dan satu peranti perkakas komputer.

Ujar beliau, siastan lanjut mendapati sindiket berkenaan meraih pendapatan RM10,000 sehari deagan anggaran RM300,000 sebulan.

“Kini kesemua tangkapan telah ditahan reman selama tiga hari mulai hari ini hingga 12 Januari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Akta yang sama.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan segera dan seterusnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” ujar beliau. – MalaysiaGazette