Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Murid-murid sekolah rendah di bawah Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 secara kendiri di rumah sebelum dibenar mengikuti kelas.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, pihak sekolah telah mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengedarkan kit ujian kendiri berserta Slip Pengesahan Pelaksanaan Ujian Kendiri Covid-19 untuk dibawa pulang oleh murid esok.

Katanya, ia khusus bagi pelaksanaan ujian saringan pada minggu ini dan keputusan ujian saringan perlu dilaporkan kepada pihak sekolah pada keesokan hari.

“Sekiranya keputusan negatif, murid boleh hadir ke sekolah dan jika keputusan positif, ibu bapa penjaga hendaklah membawa anak mereka ke fasiliti kesihatan untuk tindakan lanjut dan memaklumkan kepada pihak sekolah.

“Namun, jika keputusan ujian tidak sah, ibu bapa, penjaga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah dan murid akan menjalani semula ujian saringan apabila hadir ke sekolah,” demikian menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, KPM akan mengeluarkan surat siaran berkaitan penyelarasan semula pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah serta prasekolah dan ketetapan itu turut terpakai di semua sekolah rendah dan tadika swasta
yang berdaftar bawah KPM.

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik, katanya. – MalaysiaGazette