Sekitar kawasan rumah kampung orang asli yang habis musnah akibat banjir di sekitar kawasan bencana Kampung Paya Lebar Sungai Lui, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 23 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima lebih 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk pembaikan dan pembinaab rumah baharu pasca banjir di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, sejumlah RM50 juta diperuntukkan di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja-kerja
pembaikan rumah, RM56,000 untuk membina rumah baharu di Semenanjung dan RM68,000 untuk membina rumah baharu di Sabah dan Sarawak.

Katanya, berikutan itu pusat sehenti dibuka selama tiga hari bermula hari ini bagi menyediakan saluran untuk memudah cara mangsa banjir mendaftar melalui borang yang disediakan sebelum diserah kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk diperaku Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“KPLB mengambil inisiatif itu untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak.

“KPLB juga telah memulakan kerja-kerja pembaikan Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu, Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Ramlan, empat buah rumah lagi akan dibina di Mentakab dan Temerloh, Pahang.

Ujarnya, setakat ini KPLB telah menerima 1,879 unit rumah untuk dibaik pulih di kawasan banjir seluruh negara manakala 165 lagi adalah untuk pembinaan rumah baharu. – MalaysiaGazette